Total Pageviews (Ginumu sinumuang/minintong)

PENGENALAN KECERGASAN

 KONSEP ASAS KESEJAHTERAAN

Kesejahteraan merujuk kepada amalan gaya hidup yang sehat dan seimbang. Individu yang sejahtera mampu menjaga keseimbangan dalam lima dimensi kesejahteraan, iaitu fizikal, mental, emosi, sosial, dan rohani. Pakar kesihatan kini mengakui bahawa istilah "kesejahteraan" lebih sesuai dan menyeluruh untuk menggambarkan tahap kesihatan yang seharusnya dicapai oleh setiap individu. Setiap orang perlu berusaha mencapai keseimbangan dalam semua dimensi ini agar dapat mencapai kehidupan yang sejahtera.

 

Fizikal

Keupayaan menjalankan tugasan harian secara berkesan, bertenaga untuk menikmati aktiviti riadah atau mampu menghadapi sebarang kecemasan.

Emosi

Keupayaan mengawal perasaan diri, bersifat optimistik dan positif dalam menangani cabaran harian.

Mental

Keupayaan berfikir dan menguasai ilmu pengetahuan untuk meningkatkan kualiti hidup.

Sosial

Keupayaan untuk berinteraksi dengan orang lain dan menjalin hubungan yang dapat meningkatkan kualiti hidup antara mereka dan diri sendiri.

Rohani

Keupayaan memupuk nilai-nilai yang membawa kepada kesejahteraan sejagat berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan


KOMPONEN KECERGASAN FIZIKAL

Kecergasan fizikal merupakan keupayaan seseorang individu melakukan aktiviti yang memerlukan penggunaan tenaga dan pergerakan anggota badan dengan cekap dan efisien. Kecergasan fizikal dibahagikan kepada Kecergasan Fizikal Berdasarkan Kesihatan dan Kecergasan Fizikal Berdasarkan Lakuan Motor.

KECERGASAN FIZIKAL

1.    KESIHATAN

a.    Komposisi badan

b.    Daya Tahan Kardiovaskular

c.    Daya Tahan Otot

d.    Kekuatan Otot

e.    Fleksibiliti

2.    LAKUAN MOTOR

a.    Kuasa

b.    Koordinasi

c.    Imbangan

d.    Masa Reaksi

e. Ketangkasan 

f. Kelajuan

Kecergasan Fizikal Berdasarkan Kesihatan

Kecergasan fizikal berdasarkan kesihatan merujuk kepada keupayaan melakukan aktiviti fizikal harian dengan cergas dan mengurangkan risiko mengalami penyakit hipokinetik. Kecergasan fizikal terdiri daripada lima komponen iaitu komposisi badan, daya tahan kardiovaskular, daya tahan otot, kekuatan otot dan fleksibiliti.

  • Komposisi Badan

Komposisi badan merujuk kepada peratus kandungan lemak, jisim tanpa lemak, air dan mineral dalam tubuh seseorang. Komposisi badan dianggap sebagai sebahagian daripada komponen kecergasan fizikal berdasarkan kesihatan kerana kandungan lemak dalam badan berkadar dengan tahap kesihatan. Kandungan lemak yang berlebihan boleh meningkatkan risiko penyakit jantung, diabetes dan hipertensi.

  • Daya Tahan Kardiovaskular

Daya tahan kardiovaskular ialah keupayaan jantung mengepam darah beroksigen ke otot yang sedang bekerja bagi membekalkan tenaga agar dapat melakukan aktiviti fizikal secara berpanjangan. Ukuran komponen kecergasan ini ialah jumlah oksigen yang digunakan setiap minit dan setiap jisim badan. Tahap pengambilan oksigen maksimum (V̇ O2max) yang dicapai semasa melakukan aktiviti fizikal merupakan petunjuk terbaik untuk mengukur daya tahan kardiovaskular. Seseorang yang mempunyai daya tahan kardiovaskular yang tinggi dapat melakukan aktiviti seperti joging, berbasikal dan berenang antara 30 hingga 60 minit tanpa berasa letih dan lesu.

  • Daya Tahan Otot

Daya tahan otot ialah keupayaan otot menghasilkan daya secara berulang-ulang untuk jangka masa tertentu. Contohnya keupayaan melakukan tekan tubi secara berulang-ulang. Contoh lain keperluan daya tahan otot adalah seperti pemain badminton membalas pukulan satu rali panjang dalam perlawanan.

  • Kekuatan Otot

Kekuatan otot merujuk kepada keupayaan otot menghasilkan daya yang maksimum dalam satu ulangan. Komponen ini dinilai dengan jumlah daya yang boleh dihasilkan oleh sekumpulan otot dalam satu penguncupan. Kekuatan otot amat diperlukan dalam kebanyakan sukan seperti angkat berat. Aktiviti harian seperti mengangkat perkakas rumah yang berat juga memerlukan kekuatan otot.

  • Fleksibiliti

Fleksibiliti ialah keupayaan sendi badan melakukan julat pergerakan maksimum anggota badan seperti tangan, pinggang dan kaki. Keupayaan otot, ligamen dan tendon di sekeliling sendi seperti bahu, siku, pinggul dan lutut mempengaruhi julat pergerakan anggota badan tersebut. Atlet dalam sukan seperti gimnastik dan terjun memerlukan fleksibiliti yang tinggi. Aktiviti regangan dapat meningkat dan mengekalkan fleksibiliti seseorang agar dapat mengurangkan risiko kecederaan.

Kecergasan Fizikal Berdasarkan Lakuan Motor

Kecergasan fizikal berdasarkan lakuan motor memerlukan individu mempunyai tahap kecergasan yang tinggi dalam komponen-komponen tertentu agar berupaya melakukan kemahiran sukan. Komponen-komponen tersebut ialah kuasa, koordinasi, imbangan, masa reaksi, ketangkasan, dan kelajuan

  • Kuasa

Kuasa merupakan kombinasi kekuatan otot (komponen kecergasan berdasarkan kesihatan) dan kelajuan (komponen kecergasan berdasarkan lakuan motor). Pakar sains sukan menganggap kuasa sebagai komponen berdasarkan lakuan motor kerana lebih berkait dengan kemahiran sukan iaitu keupayaan memindahkan daya dengan cepat. Contoh kemahiran sukan yang menggunakan kuasa ialah melontar peluru dan melempar cakera.

  • Koordinasi

Keupayaan menggunakan pancaindera seperti mata dan telinga bersama dengan anggota badan untuk melakukan pergerakan dengan lancar dan tepat. Contohnya, keupayaan pemain bola keranjang menyambut bola sambil berlari.

  • Imbangan

Keupayaan mengekalkan imbangan postur badan dalam keadaan pegun atau bergerak. Contoh imbangan ialah seorang gimnas melakukan dirian tangan (pegun) dan berjalan di atas palang meniti (dinamik).

  • Masa Reaksi

Masa reaksi adalah masa antara muncul sesuatu rangsangan dengan permulaan gerak balas terhadap rangsangan tersebut. Contoh masa reaksi ialah pelari berlepas dari blok permulaan sebaik sahaja bunyi tembakan pistol pelepas.

  • Ketangkasan

Keupayaan menukar arah pergerakan badan dengan pantas dan efisien. Contohnya, seorang pemain ragbi yang dapat mengelakkan takel daripada pihak lawan.

  • Kelajuan

Keupayaan melakukan sesuatu pergerakan dalam masa yang singkat. Larian pecut merupakan contoh pergerakan yang memerlukan kelajuan.


Sumber: Nelfianty et al. (2017)